Ibu Bapa, Jaga 5 Perkara Ini. Anak Anda Peniru Yang Hebat!
“Wah, pandai betul anak aku buat macam ni. Siapa yang ajar dia ya?
Rasanya aku pun tak pernah ajar dia buat macam tu. “
Apabila melihat anak kecil
menunjukkan perkembangan dalam suatu perkara, ianya merupakan sesuatu yang
menakjubkan, bukan? Lebih-lebih lagi apabila perkara tersebut adalah perkara
positif. Pasti membuatkan kita sebagai ibu bapa berasa sangat gembira.
Mungkin kita tidak pernah mengajar mereka secara langsung
mengenai sesuatu perkara. Tanpa disedari, secara tidak langsung mereka belajar melalui
pemerhatian terhadap ibu bapa dan persekitaran mereka.
ANAK MENIRU MELALUI PEMERHATIAN
Anak kecil mempelajari pelbagai
perkara baru setiap hari. Mereka akan menjadi pemerhati dalam setiap perkara
yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Setiap yang dilihat dan didengari
akan disimpan dalam memori. Kelak apabila sudah tiba masanya, usah terkejut
apabila anak berjaya meniru perkara yang dilihat dan didengarinya itu.
Oleh yang demikian, kita perlu
mempamerkan perkara yang positif sahaja dan sentiasa berhati-hati dalam setiap
perkara yang dilakukan supaya anak tidak meniru sebarang perkara negatif dalam
menjalani aktiviti seharian mereka.
IBU BAPA, JAGA 5 PERKARA INI
Berikut merupakan 5 perkara yang
perlu sentiasa dijaga oleh ibu bapa agar kita sentiasa menjadi contoh tauladan
terbaik buat anak.
1. SOLAT
Solat tiang agama. Solat di awal
waktu dan jangan pernah sekali pun kita meninggalkan solat. Usah dimarahi
sekiranya anak datang ‘mengganggu’ kita yang sedang solat. Benarkan mereka
memerhatikan kita dan bermain di sekeliling kita tatkala kita solat. Ingatlah
bahawa anak sedang belajar daripada amalan yang kita lakukan ini.
Suatu hari nanti, pasti anak meniru perbuatan solat
tersebut dan akan menunjukkan minat untuk solat. Sekiranya
kita sendiri tidak menjaga solat dan sering mengabaikan solat, bagaimana pula
dengan anak-anak kita kelak?
2. MEMBACA AL-QURAN
Jadikan membaca Al-Quran sebagai
amalan harian kita. Jika kita mampu menghadap media sosial seperti Facebook
sepanjang hari, mengapa tidak kita luangkan masa membaca Al-Quran
sekurang-kurangnya 5 ke 10 minit sahaja untuk setiap kali bacaan? Lebih baik lagi
sekiranya kita dapat membaca Al-Quran dalam tempoh masa yang lebih lama beserta
tafsirnya sekali.
Apabila anak melihat kita membaca Al-Quran setiap
hari, secara tidak langsung, mereka turut belajar bahawa Al-Quran ini merupakan
salah satu amalan harian yang
penting. Kelak, kita pasti akan berasa sangat bersyukur apabila anak mengambil
sendiri Al-Quran ini untuk dibaca walaupun pada ketika itu mereka masih belum
mengenal huruf-huruf hijaiyah tersebut.
3. KATA-KATA
Setiap bait kata ibu bapa pasti didengari anak setiap hari. Anak kecil menambah
kosa kata mereka melalui perkataan-perkataan yang didengarinya. Jika baik
perkataan ibu bapa, maka baiklah perkataan yang diluahkan oleh anak. Jika
sebaliknya, bersedialah kita untuk menghadapi anak yang juga tidak menjaga
percakapan seharian mereka.
Intonasi juga memainkan peranan yang penting dalam
berkata-kata. Sekiranya anak sering dipuji dan mendengar kata-kata yang
lemah lembut daripada ibu bapa, sudah pasti anak ini akan turut mengikut cara
sebegini dalam berkomunikasi.
Sekiranya anak kerap dimarahi dan dicemuh saban hari serta mendengar perkataan yang kurang elok daripada
individu di sekeliling mereka, tidak mustahil mereka akan turut mengeluarkan
kata-kata sebegitu suatu hari nanti.
4. AKHLAK
Ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan, kelakuan dan akhlak yang baik sepanjang
masa. Bayangkan jika anak acap kali melihat kita bercekak pinggang, membaling
atau mencampak barang-barang terutamanya ketika dalam keadaan marah,
adalah tidak mustahil sekiranya anak meniru kelakuan kita ini kerana
mereka mungkin menganggapnya sebagai perkara biasa.
Usah ditanya mengapa anak kita dilabel sebagai budak nakal sekiranya
ibu bapa masih belum berjaya mengawal kelakuan diri sendiri. Dengan izin Allah,
ibu bapa yang berakhlak mulia akan melahirkan generasi yang turut
berakhlak mulia.
5. AKTIVITI SEHARIAN
Selain daripada menyelesaikan tugasan seharian di rumah, lakukan aktiviti yang bermanfaat setiap
hari bersama anak. Membaca buku,
melukis, mewarna, beriadah, dan
bermainlah bersama anak. Melalui aktiviti-aktiviti sebegini, secara tidak
langsung, kita dapat menerapkan nilai-nilai positif dalam diri anak sekaligus
mereka dapat mengaplikasikan perkara yang dipelajari semasa membuat aktiviti tersebut
dalam kehidupan seharian.
Sekiranya kita menonton video
atau televisyen, pastikan kita menonton rancangan yang baik sahaja agar anak
tidak terjebak menonton rancangan yang tidak berfaedah. Percaya atau tidak,
anak akan kerap memukul atau menendang sesuatu kerana sering menonton rancangan
televisyen yang menayangkan aksi-aksi sebegitu dalam jalan ceritanya.
Anak sememangnya peniru yang
hebat, bukan?
ANAK AMANAH ALLAH, DIDIK SEBAIKNYA
Anak merupakan rezeki yang sangat bernilai daripada Allah. Anak
adalah amanah Allah. Maka kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya
untuk mencorakkan mereka dengan didikan terbaik
agar mereka dapat meneruskan perjuangan menegakkan agama Islam di muka Bumi
ini. Jika bukan kita yang mendidik mereka,
siapa lagi?
Ajar anak meniru cara kita mengagungkan Allah, percaya kepada
Rukun Iman dan beramal dengan Rukun Islam. Terapkan nilai positif dalam
diri anak. Bimbing mereka ke jalan yang lurus. Sentiasa berdoa agar
mereka menjadi anak soleh dan solehah yang akan mendoakan kita kelak. Semoga
mereka menjadi insan berjasa yang akan mengharumkan nama keluarga, masyarakat,
agama, bangsa dan negara tercinta.
credit : sirap limau
Tiada ulasan:
Catat Ulasan