Solat merupakan tiang agama. Untuk mendidik anak rajin solat hendaklah bermula sejak mereka diawal usia lagi. Kesilapan yang sentiasa dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan memaksa anak-anak untuk mendirikan solat. Kaedah yang lemah ini membuatkan didikan itu kurang berjaya.
Ini kerana anak-anak yang masih kecil dan tidak faham erti tanggungjawab itu, lebih merasakan terpaksa. Oleh itu, anak-anak akan lebih mudah untuk memberontak atau berbohong seperti mengaku sudah solat setiap kali ditanya.
Mendidik anak-anak solat boleh seawal usia mereka 2-3 tahun.
“Jika seorang anak sudah mengetahui dan dapat membezakan tangan kanan dan kirinya, maka perintahkanlah dia untuk mengerjakan solat.”
[Riwayat ath-Thabarani)
12 Tips Berkesan Mengajar Anak Kecil Solat Dengan Mudah
1. Selalu Solat Depan Anak
Ibu bapa adalah model terdekat yang boleh dijadikan contoh teladan oleh anak-anak. Oleh itu, belajar untuk solat di tempat yang mampu dilihat oleh mereka. Biasakan mereka untuk melihat anda solat walaupun anak masih kecil.Kebiasaannya anak-anak kecil akan meniru gaya kita solat. Itu adalah petanda yang bagus kerana mereka sudah berminat dan rasa ingin tahu tentang solat. Disamping itu, ia mendidik anak-anak bahawa solat merupakan rutin yang wajib dilakukan setiap hari.
2. Ajak anak solat, jangan menyuruh..
“Along, jom solat dengan ayah.”“Along, pergi solat!”
Lebih baik sekiranya ibu bapa mengajak anak untuk solat berjemaah bersama mereka berbanding membiarkan anak solat sendirian.
Tidak perlu tunggu sehingga anak berumur 7 tahun untuk mengajak mereka bersolat.
Walaupun anak baru berusia 2-3 tahun, ajak mereka supaya solat disebelah kita. Pada waktu ini, bakat meniru mereka sangat hebat.
Lakukan secara konsisten setiap masa untuk mengajak anak pada awal waktu.
Dengan cara ini kita menanamkan mindset supaya mereka bersedia setiap kali masuk waktu solat.
Jika anak-anak sudah bersekolah, ajak anak solat subuh bersama sebelum keluar bekerja atau menghantar anak ke sekolah.
3. Ajar cara berwuduk langkah demi langkah
Mengajar cara solat yang sempurna hendaklah bermula dengan cara berwuduk. Tampalkan gambar atau poster tentang cara berwuduk di bilik mereka. Ini bagi memudahkan proses mereka untuk mempraktikkan apa yang dilihat.Jika terdapat sebarang kesalahan yang dilakukan oleh anak tegur secara terus agar mereka tahu apa yang salah.
Perhatikan anak berwuduk setiap kali sebelum solat. Tegur cara berhemah dan jangan sesekali meninggikan suara seandainya si anak mengulangi kesilapan yang sama. Hargai usaha anak yang ingin belajar solat.
4. Minta Laungkan Iqamah
Setiap kali solat berjamaah, minta anak untuk melaungkan iqamah.Mungkin mereka malu atau tidak tahu pada mulanya, tetapi bimbinglah mereka untuk melaungkan iqamah dengan betul. Jangan sesekali marah atau memalukan mereka jika mereka melakukan kesilapan kerana mereka masih lagi dalam proses belajar.
Jika anda ada lebih dari seorang anak lelaki, anda boleh gilirkan tugas untuk melaungkan iqamah. Secara tidak langsung ia dapat membantu si anak meningkatkan keyakinan diri.
5. Dengarkan Bacaan Dalam Solat Dengan Jelas
Kuatkan bacaan dalam solat supaya anak kita boleh dengar.Dengan cara ini, secara tidak langsung ia akan membuatkan anak ingat surah-surah lazim yang sering kita bacakan. Anak juga akan memahami bagaimana sebenarnya tertib dalam solat dilakukan.
6. Bina Hubungan yang Intim Selepas Waktu Solat
Selepas selesai waktu solat biasakan untuk bersalaman dan berpelukan dengan anak-anak. Saat ini anak akan rasa lebih rapat secara fizikal dan emosional dengan ibu bapa mereka.Bagi ibu bapa yang agak sibuk dengan urusan kerja,ini antara waktu yang boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk bina hubungan yang akrab dengan anak-anak.
7. Berikan pujian untuk setiap perkara yang positif
Seandainya si anak berjaya untuk menambahbaik cara solat mereka, ibu bapa seharusnya memberikan pujian. Secara tidak langsung si anak akan lebih bersemangat untuk perbaiki cara solat mereka. Oleh itu ibu bapa seharusnya lebih prihatin atau fokus dengan perubahan baik yang anak anda tunjukkan.8. Tazkirah Santai Selepas Solat
Ambil sedikit masa selepas solat untuk memberi tazkirah kepada anak-anak. Tidak perlu terlalu formal. Cukup dengan gaya bersahaja dan menyentuh perkara-perkara asas seperti rukun solat, soal jawab bacaan surah lazim, kisah nabi-nabi dan isu-isu semasa.Pada waktu ini, jiwa anak-anak dalam keadaan lebih tenang dan ini merupakan waktu terbaik untuk memberi pengajaran kerana mereka akan lebih mudah untuk menerima.
9. Sentiasa Dekatkan Anak Dengan Azan
Ajar anak-anak untuk menghormati azan. Pastikan sebagai ibu bapa, anda menunjukkan teladan yang sepatutnya agar mudah diikuti oleh anak-anak.Contohnya seperti tidak bercakap sewaktu azan. Praktikkan perkara ini tidak kira dimana saja anda berada sama ada di rumah, di dalam kereta, mahupun di luar.
10. Bawa Anak Ke Masjid
Biasakan untuk bawa anak anda ke masjid untuk solat berjemaah bersama-sama. Ini bertujuan mendedahkan mereka dengan suasana solat berjemaah dan menanamkan sifat cintakan masjid.Jika anda sibuk, usahakan untuk mencari masa sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk menghadiri masjid bersama anak-anak.
Mungkin anak-anak akan bermain-main dan bising, tetapi salah satu kaedah mengawal anak adalah mengajak mereka solat disebelah.
Mungkin anda tidak dapat solat di saf hadapan, tetapi ada dapat mengawal tingkahlaku anak-anak agar tidak mengganggu jemaah lain.
InsyaAllah anak juga akan lebih tekun dan tidak mudah terganggu dengan kawan-kawan lain.
11. Tegur Kesilapan Anak
Selepas selesai berdoa, ambil kesempatan ini untuk menegur kesilapan solat anak.Mulakan dengan pujian.
Setiap kali ingin memperbetulkan sesuatu kesalahan, tarik perhatian anak dengan memuji mereka. Elakkan memarah atau menyindir anak dan sentisa beringat bahawa anak anda masih kecil lagi dan masih dalam proses belajar.
12. Belikan Telekung atau Kopiah yang Cantik
Salah satu cara mengajak anak untuk rajin mendirikan solat adalah dengan membelikan telekung atau kopiah kesukaan mereka. Secara tidak langsung, anak-anak akan lebih bersemangat untuk menunggu waktu solat agar mereka dapat memakai telekung dan kopiah tersebut.Jika anak-anak sudah dibiasakan untuk solat semenjak kecil lagi sudah pastinya mereka akan terbiasa dengan rutin itu sehingga mereka dewasa. Pastinya usaha anda hari ini berbaloi tatkala melihat si anak tidak pernah meninggalkan solat sewaktu mereka dewasa.
Jadi sebagai ibu bapa tingkatkan usaha anda untuk laksanakan amanah Allah sebaik-baiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan