PERIKSA 8 TANDA INI JIKA BAYI ANDA KERAP JATUH ATAU TERHANTUK
Bila bayi anda sudah mula belajar berjalan dan
jatuh, dia memang berisiko untuk kerap terjatuh. Terjatuh tanpa kesan luka atau
kecederaan adalah perkara normal sepanjang tempoh tumbesaran seorang anak
tetapi jika terlalu kerap terjatuh sehingga ada benjol dan hentakan kuat di
kepala, apakah kesannya terhadap si kecil?
Siapa yang tidak risau apabila anak terjatuh
dan menangis kesakitan. Lagi bimbang bila kesan terjatuh meninggalkan benjol
atau mengakibatkan kecederaan sampai berdarah.
Tetapi sebelum itu ibu ayah perlu faham mengenai kesan-kesan
hentakan kepala supaya dapat membuat perbezaan antara hentakan yang serius dan
hentakan yang tidak serius supaya langkah-langkah rawatan yang betul dapat
diambil.
1. Lapisan kepala terbahagi kepada kulit, tengkorak dan
otak. Apabila ada hentakan atau trauma ke kepala ia boleh menyebabkan
kecederaan kepada kulit, tengkorak atau/dan otak.
2. Apabila hentakan berlaku, kulit mungkin terkoyak dan
menyebabkan pendarahan tetapi jika luka tersebut besar dan
melibatkan salur darah yang besar ia boleh menyebabkan pendarahan yang serius.
3. Selain luka ada juga kecederaan kulit kepala yang
disusuli dengan benjol sahaja. Benjol boleh disebabkan oleh
bengkak pada kulit atau pun pendarahan di bawah kulit di mana darah berkumpul
antara kulit kepala dan tengkorak. Ia bermakna pendarahan itu
berada di luar otak dan tidak akan menghimpit otak kerana dihalang oleh
tengkorak.
4. Benjol di kepala yang disebabkan oleh pendarahan di bawah
kulit biasanya akan hilang dengan sendirinya dan boleh memakan masa hingga 1-2
minggu.
5. Kecederaan kepada tengkorak dan
otak mempunyai kesan yang lebih serius berbanding kecederaan kepada kulit
sahaja dan kedua-duanya boleh berlaku tanpa apa-apa kesan kepada
kulit.
6. Jika ada hentakan kepala dan dari segi luarannya mangsa
tidak ada luka atau benjol atau apa-apa tanda kecederaan, bukan bermaksud tidak
ada pendarahan atau kesan kepada otak.
7. Apabila ada keretakan kepada
tengkorak ia bermaksud hentakan yang berlaku sangat kuat dan ada risiko
jangkitan kerana kuman boleh masuk melalui retak di tengkorak ke otak.
8. Kecederaan ke otak boleh berlaku dengan pendarahan
dalaman otak bergantung kepada di mana hentakan berlaku, pendarahan dalaman
otak boleh berlaku di mana-mana bahagian dalam otak.
Antara simptom-simptom pendarahan dalaman otak
atau kecederaan kepada otak:
– Pengsan selepas trauma.
– Otot menjadi lemah atau sebahagian/semua anggota badan
tidak boleh bergerak.
– Amnesia/hilang ingatan.
– Keliru.
– Sakit kepala dan sakit mata apabila terdedah kepada
cahaya.
– Sawan.
– Muntah lebih dari sekali.
– Tidak dapat bercakap dengan betul atau muka menjadi senget
sebelah.
– Darah atau cecair keluar dari hidung atau telinga.
– Mata hitam tidak sama saiz.
– Penglihatan kabur atau nampak objek lebih dari satu.
Jika ada simptom-simptom ini janganlah
berlengah lagi untuk membawa anak ke hospital yang berdekatan. Jika
doktor sudah memeriksa anak dan membenarkan anak di bawa pulang, kebiasaanya
doktor akan memberi nasihat untuk memerhatikan anak sekurang-kurangnya dalam 24
jam yang pertama untuk tanda-tanda seperti di atas.
Sekiranya anak anda tidak ada tanda simptom tersebut,
kemungkinan berlaku pendarahan dalam otak sangat tipis tetapi proses pemulihan
daripada hentakan tersebut mengambil masa yang lama sehingga berminggu bahkan
ada yang berbulan.
Bagaimanapun mangsa tidak akan mengalami sebarang kesan
jangka panjang walaupun proses pemulihan mengambil masa yang lama.
Rawatan segera
a. Jika berlaku pendarahan akibat
luka anak terjatuh, anda perlu segera menghentikan pendarahan kerana kesan
serius boleh berlaku kepada mangsa jika hilang darah dengan banyak. Apa
yang perlu dilakukan sekiranya terdapat luka pada kulit selepas hentakan ialah
dengan mengenakan tekanan pada luka dengan menggunakan kain yang bersih. Jika
pendarahan tidak berhenti atau luka agak besar, terus bawa mangsa ke klinik
atau pusat kesihatan yang paling dekat sambil meneruskan tekanan terhadap luka
tersebut.
b. Benjolan yang berlaku selepas
terjatuh akan meninggalkan rasa sakit dan mungkin lebih sakit jika benjol
tersebut ditekan. ‘Cold compress’ atau tuaman sejuk boleh mempercepatkan
benjolan tersebut reda/kurang.‘Hot compress’ atau tuaman panas boleh
mengurangkan sakit tetapi harus disusuli dengan tuaman sejuk kerana panas akan
menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak. Darah beku tersebut akan
perlahan-lahan diserap balik ke tisu sekeliling dah benjolan/bengkak akan surut
dan hilang.
c. Memberi Paracetamol sahaja jika
perlu ubat untuk mengurangkan sakit. Tidak disarankan untuk memberi
ubat dari kategori NSAID (‘Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs’) seperti
Ibuprofen (Brufen, Bifen, Buprol-B, Ibufac, Nurofen) atau Diclofenac (Cataflam,
Voren).
Sumber: doktorbudak.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan