Halaman

Sabtu, 26 Januari 2019

Depresi

BAHAYA DEPRESI SEORANG ISTERI

Pernahkah kalian, ibu-ibu mengalami masalah DEPRESI? Tahukah kalian bahawa bahayanya depresi jika terjadinya kepada seorang isteri? Depresi ni bukan sahaja boleh berlaku kepada wanita selepas bersalin. Malah boleh juga berlaku kepada lelaki dan wanita yang terlalu memendamkan perasaan.

Jom ikuti perkongsian Tuan Akhtar Syamir. Moga dengan perkongsian ini suami akan lebih peka dengan keadaan isteri. in Shaa Allah.


Ibu kelar anak. Bahaya depresi seorang isteri.
Kes 1. "Saya pernah cuba lemaskan dia dalam besen...Hampir hilang dah dia..."
Kes 2. "Saya rasa saya ada penyakit meroyan. Sampai tahap pukul anak - anak saya. Saya takot sangat, tido malam pun sampai meracau..."
Itu antara kata - kata dua orang Ibu kepada saya.

 


Kes 1 sudah di tahap genting, kes 2 pula adalah adalah permulaan kepada depresi yang teruk. Jika kita masih ingat, pada bulan Jun baru - baru ini negara dikejutkan dengan kejadian seorang ibu mengelar anaknya yang berumur 1 tahun sehingga meninggal dunia.

Apa sebenarnya depresi?

Depresi ialah satu penyakit yang serious tetapi biasa terjadi. Ia akan memberi kesan terhadap perasaan seseorang, cara berfikir dan perilakunya. Depresi akan menyebabkan perasaan sedih yang teruk dan seperti kehilangan harapan.

Tanda - tanda depresi :-

 Perasaan sedih dan tertekan
 Hilang perasaan seronok kepada sesuatu yang pernah disukai
 Perubahan selera makan (berat naik atau turun)
 Masalah untuk tidur atau tidur yang berlebihan
 Kehilangan tenaga dan kepenatan
 Sentiasa membuat pergerakan tangan seperti kegelisahan atau mundar mandir
 Pergerakan dan percakapan menjadi perlahan sehingga disedari oleh orang lain
 Rasa bersalah atau rasa tidak berguna
 Mempunyai masalah untuk berfikir, memberi tumpuan atau masalah untuk membuat keputusan
 Ada memikirkan mengenai kematian atau membunuh diri

Jika anda sering mengalami tanda - tanda seperti ini lebih dari jangkamasa 2 minggu, cepat - cepatlah dapatkan bantuan pakar.

Menurut kajian, depresi lebih banyak terjadi kepada wanita berbanding lelaki.

Di sini datangnya bahaya depresi seorang isteri dan ibu. Kerana ianya dikhuatiri akan membahayakan anak - anak. Di dalam konteks kaum Melayu, kita namakan ini sebagai meroyan.
Selain genetik dan personaliti asal, faktor persekitaran juga menyumbang kepada terjadinya depresi. Sama ada di tempat kerja atau di rumah.
Mari kita fokus kepada faktor di rumah. Di samping karenah anak - anak, tidak dinafikan depresi boleh berpunca dari suami sendiri.
Bila seseorang ibu mengalami depresi, jika ditanya kepada si suami mengapa isteri begitu, pasti jawapannya "saya tak buat apa pun !". Sebenarnya itulah antara penyebabnya. Tidak buat apa - apa pun.
Ini pendedahan sikap suami yang boleh menyumbang kepada penyebab depresi.
Pinggan makan sendiri jarang sekali dibasuh. Dapur pun jarang diusik. Berat sangat tangan untuk bantu kosongkan sinki selepas isteri penat memasak.
Tandas pula tidak terjaga. Sentiasa si isteri yang akan mencucinya. Kalau 3 bulan, 3 bulan la kotor macam tu.
Rumah dibiarkan bersepah tidak bersapu dan berkemas sehinggalah isteri yang selesaikan semuanya. Bila ada tetamu nak berkunjung pun masih santai dan biar isteri terbongkok - bongkok mengemas demi menjaga maruah keluarga.
Ada yang sehingga anak ke 5 baru belajar menggunakan mesin basuh. Itu pun kerana terpaksa. Lipat kain sudah pasti satu perkara yang sangat asingnya.
Janganlah cerita bab tanggungjawab. Kerja - kerja rumah ini bukan 100% terletak kepada isteri. Berhenti jadikan ia alasan murahan untuk menjadi lelaki yang pemalas.
Ada juga yang mengadu kepada rakan - rakan bagaimana suami mereka langsung tidak ambil peduli mengenai pembelajaran anak dan membiarkan si isteri menguruskan segalanya. Ini sememangnya akan menambahkan beban mental kepada isteri.
Ini bukan lagi soal membuka aib lagi, tetapi ini telah masuk ke kategori mendapatkan bantuan dan nasihat.

Kita masuk pula bab "Keperluan Rohani". Ianya bukan keperluan asas seperti makan dan pakai. Tetapi keperluan dalam jiwa isteri. Keperluan supaya suami menjadi seorang suami kepadanya.
Contoh keperluan rohani isteri adalah seperti menjaga isteri, membelai isteri, menemani isteri, menjadi penglipur lara isteri, ada bila saat diperlukan, memeluk isteri bila semangatnya jatuh dan lain - lain lagi. Nampak macam banyak kan? Tapi ketahuilah yang si isteri sentiasa sedia untuk buat lebih dari ini buat suaminya.
Saya pernah nampak dengan mata saya sendiri bagaimana seorang ibu membawa 3 orang anak termasuk 1 bayi untuk menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan. Dengan hujan yang agak renyai, hanya bayi yang berada di dalam stroller yang tertutup tetapi tidak sepenuhnya manakala dua lagi anak kecil beliau rapat mengikuti di belakang berjalan kaki sedikit mendaki untuk ke pintu klinik kesihatan. Saya sedikit kesal kerana hanya sempat membantu mengangkat stroller bayi beliau sahaja.
Betul, ibu dan isteri ini pandai berdikari. Tetapi alangkah bagusnya jika ada suami di sisi untuk membantu? Kita boleh bersangka baik, mungkin suaminya outstation dan sebagainya. Tetapi kesusahan itu tetap si isteri perlu tanggung seorang diri. Pandai berdikari tak semestinya perkara semua menjadi senang bagi mereka.
Percayalah, jika suami buat atau sekurang - kurangnya cuba untuk buat perkara yang dinyatakan di atas, ianya seperti memenuhkan gelas keperluan rohani si isteri. Usah kata depresi, suami tidak akan nampak sedikit pun si isteri berkerut kening atau mengeluh dalam menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.
Jadi, adakah suami boleh menjadi punca isteri atau ibu menghidap depresi? Jawapannya YA.
Namun begitu, suami juga boleh menjadi punca kepada isteri yang bahagia, yang penyayang, yang setia dan yang menjadi ibu yang baik untuk anak - anak.

Anda sebagai suami nak pilih menjadi punca yang mana satu? Punca depresi atau punca kebahagiaan? Pilihan di ego masing - masing.

Janganlah sesekali memandang ringan depresi isteri.
Kepada yang tidak melalui pengalaman - pengalaman yang tidak baik sebegini diharap jangan mengecam mereka yang berhadapan dengan situasi sebegini setiap hari. Kita tidak berada di tempat mereka. Kita tidak tahu apa yang mereka rasa sebenarnya.
Semoga keluarga kita dilindungi dari kejadian - kejadian yang buruk.
Jika mahu, tinggalkan kata - kata semangat buat Puan yang pm saya ini supaya beliau boleh baca dan tenangkan hatinya. Saya sudah pm link artikel ini kepada beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan